Wednesday, June 1, 2011

~ UTeM menang produk inovasi ~

UTeM menang produk inovasi...


SEBAHAGIAN penyelidik UTeM yang berjaya meraih anugerah dan pingat pada ITEX 2011 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MELAKA 24 Mei 2011 :

Sekumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meraih 20 pingat pada pertandingan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-22 (ITEX 2011) di Kuala Lumpur, kelmarin.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ahmad Yusoff Hassan berkata, pihaknya berjaya meraih satu anugerah khas, tiga pingat emas, sepuluh perak dan enam gangsa melalui produk inovasi yang dipertandingkan.

Kata beliau, antara yang mengambil bahagian adalah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) menghantar sembilan produk inovasi, Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) menyediakan enam produk.

''Fakulti lain yang turut mengambil bahagian adalah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) menghantar enam produk, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dua produk manakala Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) satu produk," katanya di sini hari ini.

Katanya, daripada penyertaan itu, dua produk daripada FKP dan FKEKK meraih pingat emas. Antara produk inovasi yang menarik perhatian juri adalah gelas seramik inovasi hijau yang dihasilkan oleh penyelidik UTeM, Dr. Jariah Mohamad Juoi.

''Produk tersebut dihasilkan melalui kitaran semula bahan buangan kaca yang dileburkan dan diadun dengan komposisi tertentu untuk dijadikan bahan binaan atau kemasan lantai yang lebih ekonomi dan tidak mencemarkan alam," katanya.

Selain itu, menurut Dr. Jariah, bahan buangan kaca boleh dikitar semula untuk dijadikan jubin memandangkan ia mempunyai sifat dan ketahanan melalui sumber mineral semulajadi seperti tanah liat.

''Jubin yang dihasilkan mempunyai ketahanan yang lebih kuat malah, dapat menyelamatkan sumber alam semula jadi daripada terus digunakan sebagai bahan mentah dalam industri pembuatan jubin," katanya.

Produk lain yang dipertandingkan meliputi pelbagai bidang antaranya teknologi pintar, bahan kejuruteraan, teknologi hijau serta perkakasan yang memberi kemudahan dalam kehidupan harian.


Congratz & Well Done UTeM..!!! Proud of u....!!

2 comments: